DEFINISI
 Makna  Jin: Jin adalah satu nama jenis dan dalam bahasa Inggeris di sebut  Ginie - perkataan tunggalnya " Jinny " yang bermaksud yang tersembunyi,  yang tertutup atau yang gelap pekat.
  
Dalam Al-Quran terdapat banyak ayat-ayat yang menceritakan tentang Jin. Antaranya :-
  
Surah  Al-Hijr ayat 26 - 27 :Yang bermaksud : Dan sesungguhnya Kami telah  menciptakan manusia dari tanah liat yang kering kontang yang berasal  dari lumpur hitam yang di beri bentuk dan Kami telah ciptakan Jin  sebelum di ciptakan manusia daripada api yang sangat panas.
  
Surah  Ar-Rahman ayat 15 :Yang bermaksud : Dia ( Allah ) menciptakan Jann (  Jin ) dari nyalaan api ( Pucuk  api yang menyala-nyala atau Maarij )
  
Surah  Al-‘Araf ayat 12 :Yang bermaksud : " Engkau ciptakan aku ( kata Iblis )  dari api sedangkan ciptakan dia ( Adam ) dari tanah.
  
Dari  Hadis Nabi s.a.w yang telah diriwayatkan oleh Muslim r.a: Maksudnya : "  Malaikat diciptakan dari cahaya, Jaan diciptakan dari lidah api  sedangkan Adam diciptakan dari sesuatu yang telah disebutkan kepada kamu  ( tanah).
  
Jin  , iblis dan syaitan adalah antara makhluk ciptaan Allah selain malaikat  dan manusia. Menurut Al-Quran, jin dicipta sebelum manusia (15, Al  Hijr:26-27)
  
26.  dan Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat  Yang kering, Yang berasal dari tanah kental Yang berubah warna dan  baunya.
  
27. dan jin pula, Kami jadikan Dia sebelum itu, dari angin api Yang panasnya menyerap ke liang bulu roma.
  
SYAITAN
  
Dari segi definisi syaitan yang boleh diguna pakai dan disepakati ulama ialah:
  
“Semua  yang membangkang (ingkar) baik jin, manusia mahu pun binatang/kuman  dinamakan syaitan”. Dari definisi ini dapatlah dikatakan bahawa pelaku  sesuatu yang buruk atau sesuatu yang tercela dari sisi Islam adalah  syaitan sama ada manusia atau jin (atau juga binatang / kuman).
  
JIN
  
Nama  jin diambil sempena asal kejadiannya yang tersembunyi daripada mata  manusia, iaitu asal dari kata kerja “janna” yang bermaksud tertutup,  terselindung dan tersembunyi.
  
Jin tergolong dalam dua golongan , iaitu jin beriman dan jin kafir berdasarkan Al-Quran Surah Al-Jin (Q72:1-4; 14-15)
  
1.  Katakanlah (Wahai Muhammad): "Telah diwahyukan kepadaku, Bahawa  sesungguhnya: satu rombongan jin telah mendengar (Al-Quran Yang Aku  bacakan), lalu mereka (menyampaikan hal itu kepada kaumnya dengan)  berkata: `Sesungguhnya Kami telah mendengar Al-Quran (sebuah Kitab Suci)  Yang susunannya dan kandungannya sungguh menakjubkan!
  
2.  `Kitab Yang memberi panduan ke jalan Yang betul, lalu Kami beriman  kepadaNya, dan Kami tidak sekali-kali akan mempersekutukan sesuatu  makhluk Dengan Tuhan kami.
  
3.  `Dan (ketahuilah Wahai kaum kami!) Bahawa sesungguhnya: tertinggilah  kebesaran dan keagungan Tuhan kita daripada beristeri atau beranak.
  
4.  `Dan (dengan ajaran Al-Quran nyatalah) Bahawa sesungguhnya: (ketua)  Yang kurang akal pertimbangannya dari kalangan kita telah mengatakan  terhadap Allah kata-kata Yang melampaui kebenaran;
  
14.  `Dan Bahawa Sesungguhnya (dengan datangnya Al-Quran, nyatalah) ada di  antara kita golongan Yang berugama Islam, dan ada pula golongan Yang  (kufur derhaka dengan) menyeleweng dari jalan Yang benar; maka sesiapa  Yang menurut Islam (dengan beriman dan taat), maka merekalah golongan  Yang bersungguh-sungguh mencari dan menurut jalan Yang benar,
  
15. ` adapun orang-orang Yang menyeleweng dari jalan Yang benar, maka mereka menjadi bahan bakaran bagi neraka jahannam. '
  
Termasuk dalam golongan jin kafir ialah nama-nama seperti Ifrit, Iblis dan Qarin.
  
Jin  adalah makhluk halus yang diciptakan Allah dari api. Jin yang  membangkang dan ingkar serta mengajak kepada kederhakaan kepada Allah  adalah satu jenis syaitan. Manusia yang derhaka dan mengajak kepada  kederhakaan juga adalah syaitan. Jadi syaitan tidaklah semestinya hanya  diwakili oleh golongan jin tetapi ia juga diwakili oleh manusia. Sebagai  latihan, adakah Firaun dan George Bush boleh dipanggil syaitan??
  
Syaitan  dengan penjelasan ini boleh terdiri dari jin atau manusia. Kedua-dua  golongan ini mempunyai sifat yang berbeza tetapi tugas yang sama iaitu  menyebarkan keingkaran dan kederhakaan serta kerosakan di muka bumi. Apa  yang dinyatakan ini amat selari dengan firman Allah dalam Al-Quran  surah Al An’aam:112 dan An Naas:1-6
  
112.  dan Demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari  syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada  setengahnya Yang lain kata-kata dusta Yang indah-indah susunannya untuk  memperdaya pendengarnya. dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka  tidak melakukannya. oleh itu, biarkanlah mereka dan apa Yang mereka  ada-adakan (dari perbuatan Yang kufur dan dusta) itu.
  
1. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Aku berlindung kepada (Allah) Pemulihara sekalian manusia.
  
2. "Yang Menguasai sekalian manusia,
  
3. "Tuhan Yang berhak disembah oleh sekalian manusia,
  
4. "Dari kejahatan pembisik penghasut Yang timbul tenggelam, -
  
5. "Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke Dalam hati manusia, -
  
6. "(Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia".
  
Justeru,  manusia sewajarnya tidak berkawan dan berurusan dengan jin. Ini kerana  mereka sentiasa sedaya upaya terhadap manusia agar melakukan dosa besar  sehingga syirik kepada Allah.
  
Golongan jin itu akan menimbulkan masalah. Berikut adalah penjelasan Allah dalam Al Quran berkaitan meminta bantuan kepada jin::
"Tetapi  ada lelaki-lelaki tertentu daripada manusia yang meminta perlindungan  kepada lelaki-lelaki tertentu daripada jin, dan mereka (jin ini)  menambahkan mereka dalam kekejian," (72:6)
  
IBLIS
  
Iblis berasal daripada golongan jin seperti disebut Allah dalam Al-Quran Al Kahfi (18:50).
  
50.  dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat:  "Sujudlah kamu kepada Adam"; lalu mereka sujud melainkan Iblis; ia adalah berasal dari golongan jin,  lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. oleh itu, Patutkah kamu  hendak menjadikan Iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib  Yang menjadi pemimpin selain daripadaku? sedang mereka itu ialah musuh  bagi kamu. amatlah buruknya bagi orang-orang Yang zalim: pengganti Yang  mereka pilih itu.
  
Sememangnya  manusia tidak mampu menguasai golongan jin. Bagi Nabi Sulaiman (AS),  baginda dapat menguasai jin kerana diberi anugerah berbuat demikian dan  ia adalah antara syariat dan mukjizatnya, Al-Quran An-Naml (Q27:17)
  
17.  dan dihimpunkan bagi Nabi Sulaiman bala tenteranya, dari jin dan  manusia serta burung; lalu mereka dijaga serta diatur keadaan dan  perjalanan masing-masing.
  
Dalam  Al Quran perkataan Iblis hanya ditemui dalam bentuk tunggal (singular)  yang membawa maksud satu iblis. Syaitan pula dalam Al Quran terdapat  dalam bentuk tunggal iaitu syaitan dan bentuk jamak (plural) iaitu  syayaathiin. Dengan ini bolehlah dijelaskan bahawa iblis adalah dari  golongan jin yang asalnya satu (tunggal) yang menjadi asal usul  keturunan bagi semua anak cucu syaitan dari golongan jin sehingga masa  kini. Lihat Al Quran Al A’raaf:14 
  
14. Iblis berkata: berilah tempoh kepadaKu hingga hari mereka dibangkitkan (hari kiamat)".
  
15. Allah berfirman: "Sesungguhnya Engkau dari golongan Yang diberi tempoh (ke suatu masa Yang tertentu)".
  
16.  Iblis berkata: "Oleh kerana Engkau (Wahai Tuhan) menyebabkan daku  tersesat (maka) Demi Sesungguhnya Aku akan mengambil tempat menghalangi  mereka (dari menjalani) jalanMu Yang lurus;
  
17.  "Kemudian Aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang  mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak  akan dapati kebanyakan mereka bersyukur".
  
18.  Allah berfirman: "Keluarlah Engkau dari syurga sebagai makhluk Yang  terhina serta terusir. Sesungguhnya sesiapa di antara mereka Yang  menurutmu, tetaplah Aku akan memenuhi neraka jahanam Dengan (golongan)  kamu (yang derhaka) semuanya;
  
Dari  keterangan Al Quran Al A’raaf:14-18 di atas, dapat ditafsirkan bahawa  Allah telah memberi izin kepada iblis untuk panjang umurnya (hingga  beribu tahun ?) untuk memainkan peranannya iaitu tidak lain dan tidak  bukan untuk menyesatkan manusia dan jin lainnya.
  
  
Nabi SAW bersabda: “sesungguhnya  syaitan (dari golongan jin) itu berjalan dalam diri manusia mengikuti  perjalanan darah, maka dari itu aku khuatir bahawa syaitan akan  melemparkan sesuatu kejahatan dalam hati kamu. (HR. Bukahri Muslim”).
  
Syaitan  jin termasuk makhluk ghaib / halus yang dapat menyelinap ke segala  tempat dalam keadaan bagaimanapun. Dia dapat masuk ke dalam tubuh  manusia mengikuti aliran darah sehingga ia dapat berleluasa menggoda dan  menyebarkan kerosakan kepada manusia sebagaimana isyarat hadis di atas.
  
Dorongan  kejahatan dalam diri kita boleh datang dari nafsu dan juga dari  dorongan syaitan atau iblis. Sebenarnya adalah mudah untuk mengenali  hasil tugasan mereka melalui tusukan ke hati ini. Namun yang lebih  penting selepas ini adalah untuk mengenalpasti syaitan di kalangan  manusia yang terus bertugas untuk menjerumuskan manusia ke neraka.  Seorang manusia sukar menjadi jahat apabila terdedah kepada syaitan jin  dan iblis semata-mata tetapi seseorang manusia amat mudah terjerumus  kepada kejahatan hasil dari pengaruh syaitan manusia yang menjadi  sahabatnya.
  
Ingatlah  bahawa setiap kali kita melakukan kejahatan ingkar perintah Allah,  Allah akan menghadiahkan syaitan dari golongan jin bernama Qarin yang  menjadi satu lagi teman setia yang tidak lekang yang akan terus menggoda  dan menjerumuskan pelaku ke neraka seperti ayat Al Quran Az Zukhruf  43:36
  
36.  dan sesiapa Yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Quran Yang  diturunkan oleh Allah) Yang Maha Pemurah, Kami akan adakan baginya  Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu  Temannya Yang tidak renggang daripadanya.